Followers

Pages

Friday, February 3, 2012

Kisah Lelaki tua mencari anaknya -

                  
                       AKU berjalan di sekitar Kota Metropolitan. Banyak kereta sungguh. Maklumlah malam 'minggu'. Malam yang penuh dengan manusia-manusia yang setiap minggu keluar. Ada yang bersiar-siar , Ada yang ber-dating dengan 'Gf 'masing-masing, ada yang keluar sekumpulan dan melepak, ada yang seorang diri berdiri di bahu jalan melihat persekitaran. Aku terpandang seorang lelaki tua sedang berjalan. Di tangannya memegang satu tongkat. Aku fikir dia buta, namun sebaliknya dia tidak buta. Mungkin tongkat itu sebagai satu bantuan untuk dia menguatkan badan. Mungkin. Lelaki tua itu berjalan di bahu jalan, menuju ke arah bertentangan denganku. Aku menghentikan perjalananku. Aku hanya berdiri ditepi bahu jalan dan memerhatikan lelaki tua itu. Takut-takut dia rebah. Ada juga peluangku untuk mencari pahala di malam itu. Mungkin juga aku sudah mendapat 'pahala' kerana mempunyai niat yang baik. Mungkin juga pahalaku tiada kerana aku hanya memikirkan 'pahala' di sebalik keihlasanku berniat untuk menolong lelaki tua itu. Aku biarkan lelaki itu dengan tongkatnya. Dia masih berjalan ke arahku. 

                Lelaki tua yang berkopiah putih itu tiba-tiba berhenti seketika. Aku merasakan dia kepenatan dan inginkan rehat seketika sebelum meneruskan perjalanannya. Dia duduk. Dia mengeluarkan sesuatu di dalam kocek bajunya. Aku lihat seperti satu kertas putih. Pak cik itu pandangku. Dia kemudian bangun dari duduk dan menuju ke arahku. Aku seperti menjangkakan dia akan datang ke tempatku. Fikirku, adakah pak cik ini ingin meminta sedekah dari ku? Aku pun buka beg duitku. Aku lihat ada sepuluh ringgit, satu ringgit dua keping dan lima ringgit satu keping. Yang mana satu aku akan berikan jika lelaki tua itu minta. Aku membuat percaturan. Lima ringgit lah. Ah, banyak sangat. Urm, kalau begitu, seringgit cukuplah. Sudah cukup untuk dia beli air bagi menghilangkan dahaganya. Tekaan aku sebenarnya salah. 

                     Lelaki tua itu menghampiriku. Dia memberi salam dan aku menjawab salamnya. Dia bertanyakan tentang apa ku buat disitu. Aku hanya menyatakan keluar untuk mengambil angin. Dia kemudiannya menyatakan minta pertolongan. Aku jangkakan dia mahukan sedikit 'sumbangan ikhlas'. Namun aku salah. Lelaki itu keluarkan kembali satu kertas dari kocek bajunya yang dia telah menyimpan semasa melihatku ketika dia berehat tadi. Dia menanyakan aku tentang seseorang di dalam kertas itu. Sebenarnya kertas itu adalah sekeping gambar seorang lelaki yang aku jangka berumur dalam 30 tahun. Lelaki itu menyatakan bahawa anaknya sudah lama tidak pulang ke kampung. Dan dia khuatiri anaknya hilang. Dia ke situ adalah untuk mencari anaknya yang telah hilang darinya. Aku menyatakan bahawa aku tidak mengenali dan tidak pernah melihat manusia di dalam gambar itu. Lelaki itu kemudian mengangguk dan senyum kepadaku. Dia menyatakan bahawa tidak mengapa. Dan kemudian dia terus beredar meninggalkanku. 

Banyak benda bermain difikiranku pada masa itu. Seorang ayah yang sudah tua, aku jangka dalam umur 60 tahun sedang mencari anak lelaki yang mungkin sudah mempunyai keluarga dan kerjaya. Tanpa mengenal penat lelah, tanpa mengenal erti payah dia meneruskan perjalannya demi mencari anaknya.Tapi kenapa harus bapa yang mencari anak, dan bukan anak yang balik mencari bapa? Persoalan itu bermain difikiranku. Aku sedih melihat lelaki tua itu. Sangat-sangat sedih. 

Teringat aku akan kata-kata nenekku dahulu: 

"Tanpa ayah yang mencari rezeki, tanpa ibu yang menjaga anak dengan berkat nafkah daripada ayah, anak itu takkan hidup dan membesar." 


Ini hanya cerita rekaan dan mungkin menjadi kisah benar. Anda yang tentukan.

No comments:

Post a Comment

Terima kasih di atas komen anda... :)